♥ CARI HADIAH UNTUK BIRTHDAY ? ANNIVERSARY ? KLIK SINI !




RAHSIA WUDUK KEPADA KESIHATAN

Wuduk itu adalah mukadimah kepada solat. Sebelum menunaikan solat, kita harus mengambil wuduk terlebih dahulu. Wuduk adalah satu cara pengabdian kepada Allah dengan membasuh anggota tertentu menurut cara ditetapkan syarak. Menurut ijtimak ulama, solat tanpa wuduk tidak akan diterima manakala penilaian daripada kelebihan berwuduk, ia menghapuskan dosa kecil.

Sewajarnya umat Islam hendaklah berwuduk seperti sifat wuduk yang ditetapkan syarak di samping menyempurnakan anggota wuduk yang wajib dan menjaga perbuatan sunat serta perkara dituntut ketika berwuduk.

Sayidina Abu Bakar atau Sayidina Umar kelihatan pucat mukanya atau menggigil ketika mengambil wuduk lagi, kerana mereka sedar sebentar lagi mereka akan menghadap Allah, Tuhan sekalian alam.

Wuduk mempunyai banyak kelebihan yang tersendiri. Ia bukan hanya sekadar membersihkan dan menyucikan diri, nilai yang terkandung di dalamnya juga boleh dirasai hingga ke dalam hati. Namun, ramai antara kita yang tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Pernahkah terfikir, mengapa kita mengambil wuduk sedemikian rupa? Allah berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:

"Hai orang-orang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki... ( surah al-Maa'idah : 6)

Sebagai orang yang beragama Islam, bersikap bersih amat perlu dalam kehidupan. Kebersihan daripada kekotoran yang dilakukan oleh seseorang pada diri, pakaian dan tempat tinggal mempunyai nilai yang tinggi sehingga disebut Rasulullah separuh daripada iman. Kebersihan yang dimaksudkan juga termasuk kebersihan hati daripada sifat-sifat seperti takabur, riyak dan hasad yang memerlukan kita bertaubat. Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Apabila seseorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu ia mencuci wajahnya, maka akan keluar daripada wajahnya setiap dosa yang ia lihat (yang haram) bersamaan dengan air atau bersamaan titisan air terakhir bila ia mencuci kedua tangannya, keluar dosa-dosa yang dilakukan kedua kakinya bersamaan denagn air atau bersamaan dengan titisan air terakhir hingga ia keluar dalam keadaan bersih daripada dosa." (Hadis riwayat Muslim)

Hikmah untuk kesihatan

Wuduk sebenarnya mempunyai rahsianya yang tersendiri terutamanya dari sudut kesihatan. Ada beberapa kajian yang mengukuhkan kenyataan ini. Terdapat satu artikel yang bertajuk Muslims Rituals And Their Effect On The Person's Health yang dikarang oleh Dr. Magomed Magomedov seorang pengamal perubatan.

Beliau mengatakan bahawa berwuduk merangsang pusingan biologi manusia dengan merangsang kawasan-kawasan yang tertentu yang dikenali sebagai Kawasan Aktif Biologi. Menurut beliau, bangsa Cina banyak mengkaji ilmu refleksologi dan mereka meyakini jika Kawasan Aktif Biologi ini dirangsang ia akan merangsang sistem saraf dalam badan sekaligus memberi kesan yang positif terhadap kesihatan seseorang.

Berdasarkan ilmu perubatan china, badan manusia mempunyai lebih kurang 700 "Kawasan Aktif Biologi" dan 66 daripadanya memberi kesan positif yang segera sekiranya dirangsang. Dan daripada 66 kawasan ini, 61 daripadanya berada di kawasan wuduk utama orang Islam.

Manakala lima lagi kawasan terletak antara buku lali dan lutut di mana ia kawasan yang disunatkan berwuduk. Di samping kita berwuduk dalam menunaikan ibadah ia juga mengandungi penawar yang mampu mencegah daripada pelbagai penyakit.

Beliau juga menyatakan apabila seseorang menyentuh mukanya semasa berwuduk, ia merangsang saraf bagi memberi kekuatan baru (recharge) kepada organ-organ seperti usus, perut, pundi kencing, sistem peranakan dan sistem saraf.

Apabila kawasan kaki kanan dibasuh dan digosok ia merangsang sistem saraf bagi memulihkan sistem tulang, usus pankreas, hempedu, tiroid dan kawasan pinggang. Manakala apabila kaki kiri dibasuh dan digosok, merangsang sistem saraf yang berperanan untuk mengelokkan kelenjar pituitury dan kawasan otak yang mengawal sistem endokrin.

Dalam satu buku yang bertajuk Prayers: A Sport For The Soul and Body tulisan Mukhtar Salem melaporkan bahawa berwuduk mampu mencegah seseorang daripada kanser. Hal ini disebabkan kanser adalah bahan kimia yang melekat pada kulit badan seseorang kesan daripada pencemaran yang berlaku pada hari ini. Pembasuhan anggota badan melalui wuduk ini secara tidak langsung membersihkan badan daripada kesan pencemaran ini.

Berhubung dengan perbuatan berkumur semasa berwuduk dengan tujuan membersihkan mulut daripada sisa-sisa makanan yang melekat dicelah-celah gigi ditambah pula dengan galakan nabi supaya bersiwak (menggosok gigi) semasa berwuduk.

Sabda Nabi, "Jika tidak menyusahkan umatku, akan aku suruh mereka bersiwak setiap kali mereka hendak bersolat dan akan aku suruh mereka ketika berwuduk." (Hadis riwayat Ahmad)

Mengikut Malaysia Healthcare Guide (1997) antara cara yang terbaik untuk mencegah kerosakan gigi ialah dengan menggosok gigi setiap kali selepas makan atau pun paling kurang berkumur mulut.

Justeru melaksanakan wuduk adalah relevan dan banyak kelebihan dengan kehidupan manusia pada hari ini. Benarlah Ibnu Qaiyim Al-Jauziyah dalam At-Tib An-Nabawi, "Mandi wajib dan wuduk mendatangkan kesegaran badan dan kesedapan jiwa serta menghilangkan sebarang kekotoran yang diperoleh antaranya disebabkan jimak."

Kelebihan wuduk mengikut Sunnah

Daripada Abu Malik al-Haris ibn Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata : Rasulullah s.a.w. telah bersabda : "Kebersihan itu sebahagian daripada iman."

Jika seseorang Muslim itu menghayati faedah berwuduk nescaya ia akan berwuduk setiap masa. Malah denga wuduk yang baik dapat menghapuskan dosa.

Dari Umar r.a. berkata : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda : "Barangsiapa berwuduk dengan sebaik-baik wuduk maka akan keluar dosa-dosanya dari tubuhnya sehingga ia keluar dari celah-celah kukunya." (Hadis Imam Muslim)

Dari Abi Umamah r.a. berkata : "Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila seseorang Muslim berwuduk maka akan keluar dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan (diampunkan) dosa-dosanya." (Hadis Imam Ahmad)

Dengan wuduk seseorang dapat memasuki syurga dari pintu-pintu yang disukainya sebagaimana sabda Nabi s.a.w. :

"Tiada seorang pun dari kalian yang berwuduk, lalu ia menyampaikan atau meratakan wuduknya, kemudian dia mengucapkan : Asyhadu alla Ilaha illallah wa anna Muhammadan 'Abduhu wa Rasuluhu, melainkan dibukalah untuknya pintu syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu manapun yang dia kehendaki." (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda : "Apabila seorang hamba Muslim atau mukmin berwuduk lalu membasuh mukanya keluarlah semua dosa yang dilihat dengan matanya bersama air atau bersama titisan air. Apabila dia membasuh kedua-dua belah tangannya keluarlah dosa yang dilakukan menggunakan kedua-dua tangannya bersama air atau titisan air. Apabila dia membasuh kedua-dua kakinya, keluarlah dosa berjalan yang digunakan kedua-dua belah kakinya bersama air atau titisan air terakhir sehingga dia benar-benar bersih dari segala dosa." (Hadis riwayat Muslim)

Banyak hadis yang menganjurkan supaya kita berada dalam keadaan berwuduk, walaupun kita bukan dalam keadaan mendirikan solat.

Berdasarkan sunnah ini, generasi sahabat sehingga generasi orang soleh, sentiasa menjaga wuduk mereka dalam segala hal, sama ada semasa mereka dalam perjalanan, membaca al-Quran, menuntut ilmu, bekerja , ketika hendak tidur dan juga termasuk dalam sebelum dan selepas bersetubuh.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Apabila kamu hendak tidur, berwuduklah seperti kamu hendak solat. Sesudah itu berbaringlah ke kanan dan bacalah 'Ya Allah, kuserahkan diriku kepadamu, aku berlindung kepadamu. Tiada ada tempat berlindung dan tempat mencari keselamatan kecuali kepadamu. Ya Alla, aku percaya pada kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang kau utuskan. Sekiranya kamu mati pada malam itu, maka kamu mati dalam Muslim. Jadikanlah doa itu sebagai akhir perbicaraan kamu." (Hadis Riwayat Bukhari)

Beberapa Penemuan Saintifik Melalui Berwuduk

1. Apabila air dingin melalui tubuh yang letih, ia mampu melancarkan peredaran darah dan membuatkan tubuh lebih segar.

2. Air dingin meningkatkan keupayaan sel darah putih dalam tubuh serta meningkatkan sistem pertahanan tubuh melawan virus.

3. Berwuduk di waktu pagi meningkatkan produktiviti hormon estrogen sekali gus meningkatkan tahap kesuburan.

4. Boleh memperbaiki jaringan kulit dan membuatkan kuku lebih sihat dan kuat.

5. Air dingin pada waktu pagi mampu menghasilkan ion-ion negatif yang boleh meneutralkan darah dan membantu menyerap oksigen dengan lebih optimal sehingga wajah kelihatan lebih cerah dan berseri.
SYUKRAN.SEBARANG COPY DAN PASTE DIBENARKAN :)

No comments:

Post a Comment

 
Tempelate Designed by Nanie| Copyright-2011 Protected | Infinite