♥ CARI HADIAH UNTUK BIRTHDAY ? ANNIVERSARY ? KLIK SINI !




GOLONGAN YANG AKAN DISEKAT DARI TELAGA KAUTHAR



Daripada Asma' binti Abu Bakar As-Siddiq Radhiallahu anhuma berkata : ''Rasulullah SAW bersabda : ''Ketika aku sedang berdiri di tepi telagaku (telaga Al-Kauthar, iaitu pada hari kiamat nanti) sambil menunggu orang-orang yang datang meminum daripadanya, maka tiba-tiba ada orang-orang yang disekat daripada sampai ke sisiku (ke tepi telagaku). Lalu aku berkata: ''Bukankah mereka itu juga dahulunya daripada umatku?''. Maka dikatakan orang kepadaku: ''Ya benar, tetapi engkau tidak mengetahui bahawa mereka setelah itu kembali ke belakang (berpaling tadah atau meninggalkan ajaranmu).'' Berkata Ibnu Abi Mulaikah (salah seorang di antara perawi hadith) : ''Ya Allah! Kami berlindung denganMu daripada kembali kepada kekufuran atau kami diuji dengan ujian yang berat.'' (Hadith Riwayat Bukhari)

Telaga Al-Kauthar adalah telaga yang besar yang akan dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW pada hari kiamat nanti. Telaga ini beribu-ribu batu luasnya dan gelasnya adalah lebih banyak daripada bilangan bintang yang ada dilangit. Sesiapa yang sudah meminum daripadanya walaupun hanya seteguk sahaja, ia tidak akan merasakan kehausan untuk selama-lamanya. Semua umat nabi Muhammad SAW akan berpeluang meminum air telaga yang mulia ini.
GAMBAR HIASAN SEMATA-MATA

Namun nantinya pada hari kiamat kelak akan ada orang-orang yang disekat oleh para malaikat daripada mendekati telaga ini walaupun mereka menganggap bahawa diri mereka layak untuk meminum daripada air telaga tersebut dan Rasulullah SAW sendiri sebelum mengetahui hakikat perbuatan mereka yang sebenarnya merasakan bahawa mereka layak untuk meminum daripada telaga tersebut. Maka apabila para Malaikat menyekat mereka, Nabi SAW berkata ''Bukankah mereka juga dari umatku''. Lalu malaikat menjawab : ''Ya betul, mereka pada mulanya adalah termasuk daripada golongan umatmu, tetapi mereka telah meninggalkan ajaranmu''. Maka ketika itu baru Nabi SAW memahami keadaan sebenar dan beliau pun menyetujui tendakan malaikat tadi sambil berkata (yang disebutkan dalam riwayat lain) : ''Suhqan, suhqan''. Ertinya : ''Mereka layak untuk diusir dari telagaku, mereka laya untuk diusir dari telagaku''.


Betapa sialnya golongan ini. Rasanya teramat malu sekali di hadapan khalayak ramai di tengah-tengah padang Mahsyar yang merupakan tempat perhimpunan seluruh manusia daripada zaman Nabi Adam A.S sampai ke generasi dunia yang terakhir sekali. Ya, apa boleh buat kalau itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri. Mereka mengaku sebagai orang Islam, tetapi amal perbuatan mereka bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri. Mereka mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW tetapi mereka tidak mahu mengikuti ajaran yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Mereka mengaku orang Islam tetapi mereka tidak mahu sembahyang, tidak mahu membayar zakat, tidak mahu berpuasa, tidak mahu menutup aurat dan begitulah seterusnya.

Hendaklah kita memohon kepada Allah SWT semoga Ia menguatkan iman kita dan memberikan kepada kita cucuran taufiq dan hidayah sehingga kita dapat mengamalkan segala tuntutan agama yang suci ini sampai ke akhir hayat dan mati dalam keadaan beriman. Amin.
SYUKRAN.SEBARANG COPY DAN PASTE DIBENARKAN :)

No comments:

Post a Comment

 
Tempelate Designed by Nanie| Copyright-2011 Protected | Infinite